DBKL sapu bersih struktur binaan haram peniaga di Tasik Titiwangsa

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) melaksanakan Operasi Tindakan Bersepadu Roboh Struktur bersama pasukan agensi Sahabat di Taman Tasik Titiwangsa, Kuala Lumpur bermula pukul 9.30 pagi, Khamis.

Operasi bersepadu diketuai oleh Pejabat Tanah Galian Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) bersama kekuatan 73 pegawai dengan kerjasama Jabatan Dalaman DBKL terdiri dari Jabatan Penguatkuasaan, Jabatan Kejuruteraan Mekanikal dan Elektrikal dan Pejabat Cawangan Setiawangsa.

Manurut DBKL, operasi itu turut disertai oleh pasukan agensi sahabat yang terdiri daripada Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Air Selangor, Tenaga Nasional Berhad, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan dan Jabatan Perdana Menteri.

“DBKL telah merobohkan 15 struktur gerai, enam buah khemah, sebuah penghadang dan sebuah kerangka besi.

“Hal ini demikian kerana struktur tersebut dibina tanpa kelulusan perintah pembangunan dan menduduki tanah kerajaan tanpa kebenaran sah dibawah kesalahan Seksyen 26, Akta Perancangan WPKL 1982 dan Seksyen 425, Kanun Tanah Negara 1965,” katanya dalam kenyataan.

Tambahnya lagi, DBKL turut membuat tindakan pindah barangan dan peralatan tmelibatkan 130 buah kerusi, meja dan bangku.

“Peralatan telah dipindahkan ke Setor Sitaan DBKL Jalan Lombong Taman Miharja Cheras untuk tindakan rekod dan dokumentasi,” jelasnya.

Bagaimanapun, Operasi Bersepadu berjalan dengan lancar dengan kerjasama erat dari semua agensi yang terlibat dan tindakan sebegini akan diteruskan di lokasi lain dari masa ke semasa.

Baca juga: