Seludup 20,000 pil yaba bernilai RM120,000, dua wanita telah ditahan

Penyeludupan sebanyak 20,000 pil yaba bernilai RM120,000, dua wanita disyaki telah berjaya ditahan.

Menurut Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhammad Zaki Harun, kedua-dua suspek berumur 32 dan 38 tahun berjaya ditahan di dalam sebuah kereta Perodua Myvi di tepi Jalan Kampung Sering, pada Isnin lalu.

Muhammad Zaki berkata, pihak polis telah melakukan pemeriksaan kereta berkenaan pada pukul 2.30 petang dan menemui satu tong putih mengandungi satu guni pil-pil yaba seberat 2,530 gram.

“Hasil ujian saringan air kencing ke atas kedua-dua suspek didapati negatif dadah dan susulan itu mereka telah direman selama tujuh hari,” katanya memetik laporan, Bernama.

Tambahnya lagi, kedua-dua wanita itu tidak mempunyai sebarang rekod kesalahan lampau dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Dalam pada itu, dalam operasi bersepadu di seluruh negeri tersebut, seramai 376 individu ditahan atas pelbagai kesalahan dadah bagi tempoh 25 Februari hingga 29 Februari.

“Pelbagai jenis dadah telah dirampas dan bernilai RM400,716 dianggarkan manakala harta yang disita terdiri daripada kenderaan dan wang tunai bernilai RM73,949.81,” katanya.

Muhammad Zaki turut berkata, kesemua yang ditahan berusia lingkungan 15 hingga 65 tahun akan disiasat di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952, Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1985 dan Akta Racun 1952.

Baca juga: