Tiga lelaki warga Bangladesh maut dipercayai dilanggar komuter dalam kejadian di Landasan KTM, Taman Puncak Utama Jade Hill, Kajang Selangor pada Ahad.
Menurut Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar, pihaknya menerima panggilan pada pukul 10.53 malam berkaitan kejadian itu.
Katanya, seramai lima anggota lain-lain pangkat keluaran Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kajang dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Kemalangan melibatkan sebuah komuter telah melanggar tiga lelaki Bangladesh berusia antara 30-an hingga 40-an.
“Mereka didapati menceroboh melalui landasan kereta api dan kesemua mangsa dipercayai tercampak di tepi landasan terbabit dan tidak tersepit,” katanya dalam satu kenyataan.
Dalam pada itu, ketiga-tiga mangsa disahkan meninggal dunia oleh pihak perubatan di lokasi kejadian.
Difahamkan, operasi selesai pada pukul 12.05 tengah malam dan ketiga-tiga mayat diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Baca juga: