Sebuah pesawat helikopter jenis AW139 milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) melakukan pendaratan cemas di Perairan Pulau Angsa, Selangor kira-kira pukul 9.55 pagi ketika melakukan latihan menyelamat pada Selasa.
Ketua Pengarah APMM, Laksamana Maritim Datuk Hamid Mohd Amin berkata, maklumat awal diterima menerusi panggilan Mers 999 oleh pemancing yang berada di sekitar lokasi kejadian.
“Operasi Mencari dan Menyelamat (Carilamat) diaktifkan oleh Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (Caam) dan Maritime Rescue Coordination Centre (MRCC) Putrajaya pada jam 10.15 pagi.
“Helikopter terbabit diterbangkan Leftenan Komander (M) Tengku Mohd Nizam Tengku Zakaria, Leftenan Komander (M) Mohamad Azrol Saidi bersama seorang kru udara Pegawai Waran I (M) John Ibno dan seorang Perenang Penyelamat, Bintara (M) Muhamad Nurhayyat Hashim, “katanya dalam satu kenyataan.
“Semua kru helikopter AW139 diselamatkan oleh pesawat AS 365 N3 dan diterbangkan ke Stesen Udara Maritim Subang (SUMS).
“Sebelum itu, bot pemancing yang berada di lokasi berkenaan memberi bantuan awal kepada kru yang terbabit dan 10 anggota Pasukan Tindakan Khas dan Penyelamat (STAR Team) dan KM Bagan Datuk juga diatur gerak ke lokasi bagi melakukan kawalan keselamatan di lokasi kejadian.
Dalam pada itu, Maritim Malaysia akan melakukan siasatan lanjut untuk mengenalpasti punca-punca kejadian.
APMM turut mengucapkan terima kasih atas maklumat dan tindakan pantas daripada komuniti maritim yang membantu Carilamat kejadian ini.
Difahamkan, operasi Carilamat telah ditamatkan pada pukul 11.15 pagi.
Baca juga: