Ujian lesen eTesting diperkenalkan, tiada lagi pegawai JPJ dalam kenderaan

Kehadiran pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bakal tidak diperlukan lagi bersama calon ketika menjalani ujian selepas Kementerian Pengangkutan melancarkan perintis sistem pengujian lesen memandu secara automasi atau eTesting.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, pencapaian calon akan dinilai berdasarkan alat pengesan dan kamera selain keputusan dijana secara masa nyata.

Katanya, langkah tersebut secara tidak langsung dapat meningkatkan integriti sewaktu proses penilaian.

“Bagi penggunaan sistem terbabit, institu memandu boleh mengenakan caj maksimum RM100, namun calon memilih menggunakan pengujian secara eTesting akan menerima beberapa manfaat antaranya boleh menjalani percubaan kali kedua bagi elemen ujian yang gagal pada hari sama tanpa kos tambahan.

“Calon ujian juga akan diberikan keutamaan dalam senarai tempatan ujian selain mendapat rebat RM10 bagi pengeluaran lesen percubaan.

“Bagaimanapun, buat permulaa calon diberi pilihan untuk menjalani ujian manual atau eTesting,” katanya lapor Berita Harian.

Beliau memberi reaksi demikian ketika hadir ke sidang media selepas lawatan kerja pelaksanaan inisiatif eTesting di institut Memandu Surfine Hitech, Hulu Langat, pada Selasa.

Katanya, projek perintis eTesting dimulakan di tiga institut memandu di IM Surfine Hitech, Hulu Langat, Selangor, Pusat Latihan Memandu Berjaya, Ulu Tiram, Johor dan Institut Lima Bintang Abadi, Pulau Pinang.

“Kita mengalakkan semua institu memandu untuk menawarkan ujian memandu berasaskan eTesting. Tempoh masa selama enam tahun akan diberikan kepada institut memandu bagi peralihan pengujian kaedah manual keapda kaedah eTesting.

“Institut memandu boleh memilih penyedia perkhidmatan eTesting yang diluluskan oleh Jawatankuasa Penilaian Projek eTesting iaitu Syarikat Uji Bestari Sdn Bhd; Syarikat TBS Solutions Sdn Bhd dan KOPIMA Technology Sdn Bhd,” katanya.

Terdapat tiga lagi penyedia perkhidmatan eTesting masih dalam fasa penilaian dan akan diumumkan kemudian.

Baca juga: