Nasional

Jumlah kes demam denggi meningkat, dua kematian akibat komplikasi – KKM

Dua kematian akibat komplikasi demam denggi yang dilaporkan pada Minggu Epidemiologi ke-20 tahun 2024.

Selain itu, jumlah kes demam denggi yang dilaporkan adalah sebanyak 2,461 kes berbanding 2,388 ke pada minggu sebelumnya.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan, kumulatif demam denggi yang dilaporkan sehingga Minggu Epidemiologi ke-20 adalah sebanyak 59,681 kes berbanding 43,619 kes bagi tempoh sama tahun 2023.

“Dalam pada itu, terdapat 42 kematian akibat komplikasi demam denggi telah dilaporkan berbanding 28 kematian bagi tempoh yang sama pada tahun 2023,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, bilangan lokaliti hotspot yang dilaporkan pada minggu berkenaan adalah sebanyak 59 lokaliti berbanding 60 lokaliti hostpot pada minggu sebelumnya.

“Dari 59 lokaliti yang dilaporkan, 44 lokaliti di Selangor, empat lokaliti di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, empat di Sarawak, tiga di Kedah, dua di Perak, satu di Pulau Pinang dan satu di Negeri Sembilan.

“Manakala, bagi chikungunya terdapat satu kes direkodkan pada Minggu Epidemiologi ke-20. Jumlah kumulatif kes chikungunya sehingga kini adalah 25 kes dan setakat ini tiada wabak itu dilaporkan pada minggu berkenaan,” jelasnya.

Dalam kenyataan tersebut, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menyarankan beberapa langkah pencegahan denggi sebelum cuti sekolah seperti melakukan aktiviti cari dan musnah tempat pembiakan aedes di dalam dan luar bangunan sekolah secara berkala.

“Seterusnya, membuang semua bekas atau sampah yang boleh menakung air, tutup pam dan mangkuk tandas dengan rapat, pastikan longkang dan palong air hujan tidak tersumbat dan letakkan bahan pembunuh jentik-jentik di tempat yang boleh menjadi punca aedes,” jelasnya.

Baca juga:

Related Articles

Check Also
Close