Negeri

KKM minta anjing, kucing segera dapatkan suntikan vaksin

Susulan situasi kes penyakit anjing gila atau rabies yang membimbangkan di Sarawak, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menggesa orang ramai di negeri itu membawa haiwan peliharaan terutama anjing dan kucing mendapatkan suntikan vaksin.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Lukanisman Awang Sauni, berkata, langkah itu sebagai usaha pencegahan dan memastikan penyakit berkenaan dapat dikawal.

Jelasnya, situasi rabies di Sarawak ketika ini agak membimbangkan dan boleh diisytiharkan sebagai wabak jika tidak dibendung dengan berkesan.

“Situasi rabies di Semenanjung Malaysia terkawal, sejak 2020 hingga 2023 hanya terdapat tiga kes direkodkan di Selangor.

“Tetapi di Sarawak, jangkitan rabies lebih kritikal dan sejak 2020 hingga 2023 terdapat 75 kes direkodkan. Manakala bagi tahun ini terdapat 17 kes baharu dengan 15 kematian direkodkan.

“Kita bimbang jika penyakit ini merebak ke pedalaman kerana kita ada kes sebelum ini berlaku di pinggir bandar dan luar bandar,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Sukan Kebangsaan KKM Sempena Bulan Malaysia Sihat Sejahtera di Stadium Mount Austin Johor Bahru, Johor.

Menurut Lukanisman, ketika ini kerajaan negeri Sarawak menerusi pihak berkuasa tempatan (PBT) dengan kerjasama Jabatan Veterinar sedang melaksanakan program suntikan vaksinasi terhadap haiwan peliharaan.

“Kaunter pendaftaran dan vaksinasi dibuka setiap hujung minggu bagi memudahkan pemilik haiwan peliharaan mendapatkan suntikan untuk anjing atau kucing mereka.

“Manakala bagi haiwan liar pula, suntikan vaksinasi akan dibuat apabila pihak berkenaan menerima aduan. Ini penting kerana anjing khususnya mereka bergerak dalam kumpulan dan sering masuk ke kawasan kediaman.

“Kita bimbang anjing akan menyerang dan menggigit khususnya warga emas dan kanak-kanak, jadi usaha pencegahan rabies perlu dibuat secara teratur. Kita harap masyarakat datang dan libatkan diri dalam vaksinasi rabies ini,” katanya.

Pada Jumaat lalu, Pengarah Kesihatan Negeri Sarawak, Dr Ooi Choo Huck dilaporkan berkata Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak mengesan satu lagi kes kematian yang disyaki dijangkiti rabies dari bangkai anjing dalam tempoh Ogos sehingga 17 September lalu menjadikan kini empat kes kematian akibat rabies dicatatkan dalam tempoh berkenaan.

Dalam laporan itu mengatakan kes terbaru membabitkan mangsa yang dipercayai mendapat jangkitan penyakit berkenaan semasa mengendalikan bangkai anjing peliharaannya. – Harian Metro

Related Articles

Leave a Reply

Check Also
Close