Negeri

Sarawak tidak terlibat dalam program minggu solidariti Palestin

Sarawak tidak mengambil bahagian dalam program minggu solidariti rakyat Palestin yang dijalankan di institusi pendidikan iaitu sekolah bermula 29 Oktober hingga 3 November ini.

Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi, berkata, minggu berkenaan hanya dilaksanakan di persekutuan sahaja dan Sarawak kekal tidak terlibat.

Menurutnya, ini kerana terdapat perbezaan pendapat mengenai pelaksanaan program tersebut terutamanya di sekolah.

“Kita di Sarawak sudah matang dan boleh melihat perkara tersebut dengan positif dan kita (Sarawak) tidak mahu mengganggu dan terlibat dalam program sedemikian.

“Dalam pada itu, kami serahkan kepada pihak berkuasa untuk menanganinya, dan kita di Sarawak tidak terlibat,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Majlis Munajat Rakyat Sarawak Untuk Rakyat Palestin di Masjid Jamek, Petra Jaya, Kuching, pada Khamis.

Sementara itu, beliau yang juga menteri bertanggungjawab terhadap hal ehwal Islam Sarawak menjelaskan, Sarawak bagaimanapun tidak memandang negatif ke atas surat penganjuran minggu solidsriti rakyat Palestin yang dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia.

“Sarawak tidak akan mengambil negatif terhadap surat yang dikeluarkan di samping membiarkan isu tersebut dikendali oleh pihak berkuasa.

“Selain sekolah, Majlis Islam Sarawak (MIS) juga tidak mengambil bahagian untuk terlibat dengan solidariti yang berlaku di peringkat sekolah berkenaan,” ujarnya.

Dalam masa yang sama, beliau mendedahkan MIS turut menyediakan tabung-tabung bantuan di masjid untuk disalurkan kepada rakyat Palestin.

Terdahulu, beliau hadir di Masjid Jamek sekitar jam 6 petang bagi menghadiri Majlis Munajat Rakyat Sarawak Untuk Rakyat Palestin.

Majlis yang dihadiri lebih 3,000 jemaah itu dimulakan dengan solat Maghrib disusuli bacaan Yasin yang dipimpi oleh Imam Besar Sarawak, Datuk Mustapha Kamal Ahmad Fauzi. 

Selepas itu, majlis diteruskan dengan ceramah sebelum menunaikan solat Isya’ dan solat hajat.

Hadir sama Presiden MIS Datuk Misnu Taha dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Amanah Kebajikan Masjid Negeri Sarawak (LAKMNS) Datuk Abang Abdul Wahap Abang Julai dan tetamu yang lain. – Utusan Borneo

Related Articles

Leave a Reply

Check Also
Close