Isa Samad lepas, bebas pertuduhan rasuah RM3 juta babit pembelian hotel di Sarawak

Mahkamah Rayuan Putrajaya melepas dan membebaskan bekas Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad membabitkan sembilan pertuduhan rasuah berjumlah RM3 juta berkaitan pembelian hotel di Sarawak.

Keputusan itu dibuat secara sebulat suara tiga hakim yang dipengerusikan oleh Datuk Vazeer Alam Mydin Meera yang bersidang bersama Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim dan Datuk S M Komathy Suppiah.

Menurut Berita Harian, Vazeer Alam berkata, isu kekaburan pertuduhan yang timbul perlu memihak kepada Mohd Isa sebagai perayu apabila ada dua versi dan percanggahan kes pendakwaan berkaitan tujuan sebenar suapan terbabit.

Jelasnya, Mahkamah Tinggi telah tersalah arah apabila memutuskan kes prima facie terhadap Mohd Isa sebelum ini, berdasarkan keterangan bekas Ahli Lembaga Pengarah Syarikat Gagasan Abadi Properties Sdn Bhd (GAPSB) yang juga saksi pendakwaan ke-16 (SP18), Ikhwan Zaidel.

Kebimbangan dan ketakutan terhadap pengaruh Mohd Isa sebagai Pengerusi Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FICSB) berhubung penyiapan kontrak menjadi punca Ikhwan memberi suapan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Pertuduhan itu sendiri menetapkan bahawa suapan berkenaan sebagai ganjaran atas bantuan (Mohd Isa) dalam mendapatkan kelulusan FICSB untuk pembelian Merdeka Palace Hotel & Suites (MPHS).

“Oleh itu, kami mendapati bahawa keseluruhan sabitan ke atas sembilan pertuduhan itu adalah tidak selamat. Kami mendapati bahawa terdapat merit dalam rayuan itu dan wajar ada campur tangan.

“Rayuan terhadap sabitan dan hukuman membabitkan semua pertuduhan dibenarkan. Perintah Mahkamah Tinggi diketepikan dan perayu dilepas serta dibebaskan,” katanya.

Pada 3 Februari 2021, Mahkamah Tinggi mendapati Mohd Isa bersalah atas sembilan pertuduhan rasuah RM3 juta berkaitan pembelian MPHS di Kuching, Sarawak oleh FELDA.

Hakim Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali menjatuhkan hukuman penjara enam tahun bagi setiap pertuduhan, menjadikan jumlah keseluruhan hukuman penjara 54 tahun serta denda RM15.45 juta atau dipenjara 18 tahun, jika gagal membayar denda berkenaan.

Bagaimanapun, Mohd Isa hanya perlu menjalani hukuman penjara enam tahun apabila mahkamah memerintahkan supaya semua hukuman penjara itu berjalan serentak.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat