Polis buru dua individu ragut rantai emas di Kuala Langat

Polis memburu dua lelaki dipercayai meragut rantai seorang pekerja kedai serbaneka di Jenjarom, Kuala Langat, Selangor pada Khamis

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Deputi Superintendan Mohd Sufian Amin berkata, terdahulu polis mengesan satu hantaran yang dimuat naik pengguna akaun aplikasi TikTok memaparkan video kejadian itu hari ini.

Beliau berkata, hasil semakan mendapati pada jam 12.24 tengah hari semalam pihaknya menerima laporan daripada seorang wanita warga tempatan berusia 51 tahun.

“Pengadu memaklumkan dua lelaki memakai topi keledar warna hitam dan berbaju warna merah masuk ke dalam kedai.

“Salah seorang daripada suspek menarik rantai leher miliknya sehingga terjatuh ke lantai,” katanya dalam satu kenyataan.

Mohd Sufian berkata, polis membuka kertas siasatan bagi menyiasat kejadian itu mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan (KK).

Sementara itu, beliau menasihatkan orang awam supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan polis.

Beliau turut menggesa mana-mana individu yang menjadi saksi kejadian diminta tampil ke balai polis berhampiran untuk menyalurkan maklumat atau menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat di talian 03-31872222.

Baca juga: