Prestasi memuaskan, PM yakin komitmen anggota polis sejajar dengan Kerajaan MADANI

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan pertemuan dengan anggota polis di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Sebarang Perai Tengah, Pulau Pinang bersama Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain pada Sabtu.

Menerusi hantaran akaun Facebook, beliau menerima laporan tentang prestasi serta kesiapsiagaan dan kecekapan anggota polis di kawasan tersebut amat memuaskan.

“Saya zahir penghargaan atas kesungguhan menggalas amanah menjaga keselamatan dan ketenteraman rakyat.

“Saya turut meninjau keadaan kuarters di IPD yang memerlukan perhatian segera. Situasi ini juga turut membelenggu beberapa kuarters dan balai polis lain di seluruh negara.

“Kerana itu dalam Belanjawan 2024, saya umum peruntukan berjumlah lebih RM5 bilion kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN), antara lain bagi penyelenggaraan aset, baik pulih dan naik taraf kuarters kediaman PDRM,” tulisnya di dalam satu hantaran Facebook miliknya.

Anwar berkata, beliau turut dimaklumkan beberapa keperluan lain yang mendesak membabitkan keperluan dan kebajikan anggota polis.

“Justeru, saya luluskan peruntukan RM1.5 juta, merangkumi RM1 juta untuk baik pulih kerosakan dalaman dan pendawaian elektrik di kuarters Balai Polis Seberang Jaya serta RM500,000 untuk keperluan penyaman udara serta kelengkapan lain di surau IPD Seberang Perai Tengah,” katanya lagi.

Tambahnya lagi, beliau meluluskan peruntukan-peruntukan tersebut kerana ia adalah komitmen jelas Kerajaan MADANI untuk menjaga kebajikan dan mengangkat martabat anggota polis.

Dalam masa yang sama, beliau menasihati anggota polis perlu tangkas bertugas memelihara keamanan, menangkat tatakelola serta tolak rasuah dan salah guna kuasa habis-habisan.

Usah biarkan nila setitik merosakkan susu sebelanga. Pastikan tiada lagi kelompok kecil yang cuba menjejaskan nama baik PDRM.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat