Kementerian Dalam Negeri (KDN) menafikan kenyataan Human Right Watch (HRW) yang mendakwa berlaku penyeksaan dan kematian di depoh tahanan imigresen di negara ini.
Menterinya, Datuk Seri Nasution Ismail berkata, dakwaan menyatakan depoh tahanan tersebut sesak sehingga melebihi kapasiti turut tidak benar.
Katanya, sejumlah RM123 juta dibelanjakan kerajaan bagi menguruskan 20 depoh tahanan imigresen seluruh negara tahun lalu, selain RM80 juta bagi perbelanjaan makanan dan menanggung bayaran tiket feri dan kapal terbang apabila tahanan diusir.
“Kami menjaga sehingga begitu sekali, tetapi HRW kata kita seksa sampai berlaku kematian. Akibat laporan ini, Jawatankuasa Khas Parlimen (PSC) sudah memanggil KDN dan Jabatan Imigresen untuk menjawab persoalan ini, begitu juga HRW bagi memberi keterangan.
“Saya difahamkan ketika diminta pembuktian di mana penyeksaan dan kematian yang disebut itu berlaku satu cebis bukti pun tidak dapat dikemukakan, tetapi laporan sudah mereka syarahkan satu dunia,” katanya ketika sesi Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat pada Selasa.
Menurut Berita Harian, laporan HRW yang dikeluarkan sebelum ini mendakwa pelarian dalam depoh tahanan Imigresen diberi layanan buruk dan berlaku pencabulan hak asasi manusia ke atas mereka.
Laporan itu berdasarkan temu bual dijalankan terhadap 43 individu yang dikatakan pernah ditahan di depoh berkenaan.
Laporan itu juga mendakwa, kanak-kanak sering menghadapi penderaan sama seperti tahanan dewasa, termasuk penafian rawatan perubatan, makanan tidak mencukupi dan layanan buruk.
Saifuddin berkata, kapasiti yang boleh ditampung 20 depoh tahanan imigresen adalah 20,650 orang dan sehingga 7 Mac lalu, seramai 13,635 orang ditahan di depoh berkenaan.
“Ini (jumlah tahanan) di bawah kapasiti, jadi dakwaan HRW itu tertolak dengan sendirinya. Biar angka berbicara.
“Adakah (tahanan) diseksa? Jawapannya tidak,” katanya.
Saifuddin berkata, tahanan merangkumi mereka yang selesai menjalani hukuman penjara atas pelbagai kesalahan di negara ini sementara menunggu kedutaan masing-masing menyediakan dokumen perjalanan sebelum diusir.
Selain itu, katanya, mereka yang ditangkap di bawah pelbagai kesalahan Akta Imigresen dan Akta Pasport seperti terlebih tinggal, salah guna pas lawatan dan tiada dokumen perjalanan.
“Ada juga pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) yang terbabit dalam kesalahan seperti dadah, rogol dan bunuh, malah ada yang mencuri nadir bumi di Sik, Kedah,” katanya.
Baca juga: