Persatuan Bola Tampar Malaysia (MAVA) bakal merombak barisan pemain kebangsaan pasukan lelaki bagi memastikan prestasi yang cemerlang.
Menerusi kenyataan Facebook MAVA, proses rombakan pemain akan menyaksikan pemilihan pemain yang lebih berdaya saing dan konsisten untuk jangka masa panjang akan dibentuk.
“Senarai pemain yang dipanggil untuk sesi pemilihan sudah dikenal pasti dan akan dipanggil ke sesi pemilihan dalam masa terdekat.
“Pemain yang akan dipanggil di sesi pemilihan dibuat berdasarkan pemerhatian beberapa kejohanan seperti SOOKA Volleyball Super Series 2022, PKNS Invitational Volleyball League 2023 dan Desaru National Youth U21 Volleyball Championship 2023,” katanya.
Dalam pada itu, pasukan kebangsaan untuk sukan bola tampar lelaki juga akan diberi nama khas iaitu ‘Flying Falcon Malaysia’ yang akan diguna untuk kejohanan antarabangsa sepanjang tahun 2024.
Menurut Atlet bola tampar dewan kebangsaan, Fahmi Madzlan, 23, berkata, rombakan pemain merupakan satu tindakan yang wajar dan terbaik.
“Apa yang MAVA buat ini memang terbaik dan akan menjadikan pasukan bola tampar kebangsaan lebih maju di masa yang seterusnya,” jelasnya ketika dihubungi Malaysia Bangkit.
Fahmi turut meletakkan sasaran untuk meraih gelaran juara di setiap kejohanan terutama jika berpeluang untuk menyertai kejohanan antarabangsa seperti Volleyball Invitational 2024 Taiwan dan 4th SEA VLeague Men.
“Sekiranya terpilih, harapan saya adalah untuk mencapai kejuaraan dan berharap agar peminat pasukan bola tampar Malaysia terus menyokong skuad kebangsaan.
“Sepanjang bulan puasa, skuad kebangsaan belum ada apa-apa perancangan, tetapi latihan untuk pasukan bola tampar akan dilakukan bermula pada akhir bulan April atau awal bulan Mei,” jelasnya.
Baca juga: