3 ditahan dipercayai ejen pemerdagangan warga asing

Tiga individu yang dipercayai merupakan ejen pemerdagangan orang ditahan dalam sebuah operasi dijalankan oleh Unit Risikan Operasi, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) pada Jumaat.

Ketua Pengarah Imigresen Malaysia, Datuk Ruslin Jusoh berkata, tiga ejen yang ditahan terdiri daripada seorang lelaki dan wanita warganegara tempatan manakala seorang lagi wanita merupakan wargangara Indonesia.

“Dalam operasi tersebut, pihak JIM telah berjaya menyelamatkan empat wanita warga Indonesia yang disyaki merupakan mangsa eksploitasi penipuan pekerjaan.

“Siasatan awal mendapati ejen tersebut menawarkan bayaran sebanyak RM14,000 hingga RM20,000 termasuk menjanjikan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) yang akan diuruskan oleh mereka,” katanya dalam kenyataan.

Ruslin turut menambah bahawa ejen yang sudah aktif sejak empat tahun lalu dikatakan mengeksploitasi mangsa dengan menipu pekerjaan mereka, gaji tidak dibayar dan pasport mereka dipegang.

“Kes disiasat dibawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 (Akta 607) dan pesalah boleh dipenjara maksimum 30 tahun atau seumur hidup sekiranya kesalahan berat dilakukan,” tambahnya.

Pihak JIM turut menggalakkan orang ramai untuk menyalurkan maklumat sekiranya mendapat tahu mengenai warga asing yang dieksploitasi untuk membanteras jenayah pemerdagangan orang dan penyeludupan migran dalam negara.

Baca juga: