‘Ayatnya mudah, jelas dan indah’, Will Smith baca Al-Quran masa Ramadan

Bintang filem Hollywood, Will Smith mengatakan dirinya membaca kitab suci Islam, Al-Quran pada Ramadan tahun lalu.

Pendedahan itu secara tidak langsung memberikan kejutan kepada penggemar industri hiburan antarabangsa, lebih-lebih lagi apabila perkara itu tular di saat seluruh umat Islam di dunia menjalankan ibadah puasa.

Kata aktor itu, dia senang membaca Al-Quran kerana kesederhanaannya yang membawa makna yang sangat jelas.

“Saya suka akan kesederhanaan dan Al-Quran membawa makna yang begitu jelas dan takkan disalah erti oleh pembacanya.

“Semangat dan kata-kata dalam Al-Quran juga begitu indah dan jelas,” kata Smith kepada wartawan dari Mesir, Amr Adeeb di program Big Time Podcast.

Dalam pada itu, Smith turut mengatakan bahawa dia terkejut dengan persamaan kitab suci tersebut dengan kitab Yahudi dan Kristian.

“Saya terkejut kerana ia seperti satu jalan cerita yang setara, dari Taurat melalui Injil dan kemudiannya ke dalam Al-Quran.

“Sebelum ini ada beberapa perkara yang saya baca, tetapi tidak memahaminya. Namun, kekeliruan itu dapat diatasi apabila saya memahaminya setelah membaca Al-Quran dan penceritaannya sungguh indah,” katanya.

Terdahulu, Smith pernah menjadi tajuk utama media setelah bertindak menampar Chris Rock di atas pentas ketika hari penganugerahan Oscars dua tahun lalu.

Dia mengatakan dirinya dalam proses untuk menguatkan kerohaniannya untuk menangani cabaran yang dihadapinya sebelum ini.

Berikutan isu tersebut, Akademi Seni dan Sains Filem (Akademi Filem) melarang Smith menghadiri Oscar atau acara Akademi berkenaan selama 10 tahun.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat