Kes tular pegawai kanan polis yang didakwa membunuh pelajar Tingkatan 5 pada Disember lalu akan dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Ipoh, Perak pada Khamis.
Majistret, S Punitha membuat keputusan demikian dalam prosiding sebutan kes di Mahkamah Majistret Ipoh namun tarikh sebutan kes tersebut di Mahkamah Tinggi masih belum diputuskan.
Lapor Berita Harian, ia selepas beliau membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya Afzainizam Abdul Aziz untuk memindah dan membicarakan kes itu di Mahkamah Tinggi, mengikut Seksyen 177A(1) Kanun Tatacara Jenayah.
Tertuduh, Mohd Nazri Abdul Razak, 45, merupakan pegawai kanan polis berpangkat deputi superintendan (DSP) hadir ke mahkamah dengan mengenakan pakaian jaket gelap yang menutup kepala (hoodie) serta memakai pelitup muka.
Perbicaraan tersebut turut dihadiri keluarga terdekat mangsa, Zarul Fitri Muhd Zamrie, 30, yang merupakan abang kepada mangsa dan bapa saudara mangsa, Abdul Razak Judin, 49.
Terdahulu, Mohd Nazri dituduh menyebabkan kematian Muhammad Zaharif Affendi Muhd Zamrie, 17, di Jalan Taman Jati 1, berhampiran SMK Jati, Ipoh pada tengah hari 15 Disember lalu.
Kesalahan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati, atau penjara minimum 30 tahun dan tidak melebihi 40 tahun atau menerima 12 sebatan sekiranya tidak dihukum mati.
Baca juga: