“Saya percaya pada rezeki…” – Shuib tetap dengan pendirian

Kontroversi penjualan stoking tertera kalimah ‘Allah’ dalam tulisan rumi dan jawi yang hangat diperkatakan membuatkan pelawak Shuib tidak ragu-ragu untuk menamatkan tanggungjawab sebagai Duta KK Mart, sekiranya syarikat tersebut terbukti bersalah.

Menurut Shuib atau nama sebenar Shahmira Muhammad, 39, dia mengeji pengeluaran stoking berkenaan dan menganggap ia perbuatan yang tidak sepatutnya berlaku.

“Saya sentiasa percaya pada rezeki. Kalau memang tiada rezeki saya, maka tiadalah. Kalau ada rezeki saya, adalah.

“Akan tetapi, saya kena letak pendirian bahawa saya adalah seorang Islam. Sebagai umat Islam saya mengeji penjualan stoking tersebut.

“Perkara ini tidak sepatutnya berlaku dalam perniagaan atau apa juga situasi. Kita akan marah kerana isu kalimah Allah ini sangat besar,” katanya.

Bagaimanapun, Shuib sedang menunggu siasatan selesai sebelum membuat tindakan lanjut berhubung kontrak sebagai duta.

“Kalau perkara tersebut tidak benar, saya tidak akan sokong dan tidak mengiyakan langsung. Ini tanggungjawab saya sebagai seorang umat Islam.

“Perkara ini masih belum selesai dan siasatan sedang dilakukan. Jadi, saya tidak boleh ulas lanjut kerana melibatkan perniagaan dan sensitiviti masyarakat.

“Saya berdiri sebagai umat Islam, selagi perkara itu salah, melanggar peraturan, saya tidak akan sokong,” katanya.

Rabu lalu, KK Super Mart & Superstore Sdn Bhd (KK Super Mart) dilaporkan memohon maaf berhubung video dan gambar tular berkaitan penjualan stoking berjenama Miranosock yang tertera kalimah Allah di beberapa cawangan kedai serbaneka itu.

Susulan daripada insiden itu, pengendali rangkaian kedai serbaneka terbabit turut meminta supaya tidak memboikit perniagaan mereka.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat