Konon dapat pulangan RM60,000, mangsa rugi RM1,500 sertai skim pelaburan palsu ‘Petronas Chemicals’

Polis menerima laporan daripada mangsa skim penipuan pelaburan menggunakan nama palsu ‘Petronas Chemicals’ yang menawarkan pakej pelaburan yang menawarkan keuntungan hanya dalam tempoh masa tiga jam selepas pelaburan dibuat.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Polis Diraja Malaysia (PDRM), Komisioner Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata mangsa melaporkan kerugian bernilai RM1,500.

“Polis tidak menolak kemungkinan ramai lagi individu telah menjadi mangsa kepada skim penipuan ini jadi semua mangsa dinasihatkan agar membuat laporan polis di balai polis berhampiran,” katanya menerusi kenyataan pada Khamis.

Ramli turut menyatakan bahawa skim penipuan pelaburan tersebut menggunakan aplikasi Telegram dan Facebook untuk mencari mangsa.

Skim terdebut turut menawarkan empat pakej untuk dilanggan oleh mangsa-mangsa termasuk pakej asas dimana mereka boleh membuat deposit sebanyak RM550 hingga RM1,200 untuk mendapat keuntungan bermula RM15,000 hingga RM60,000.

Selain pakej asas, terdapat pakej silver yang menawarkan pembayaran deposit dari RM3,000 hingga RM5,000 untuk mendapat keuntungan sebanyak RM90,000 hingga RM150,000.

Skim penipuan pelaburan tersebut juga menyediakan pakej gold dan VVIP yang masing-masing memerlukan bayaran deposit sebanyak RM7,000 hingga RM9,000 dan deposit sebanyak RM10,000 buat pakej VVIP.

Keuntungan yang diperoleh sekiranya melanggan pakej gold dan VVIP pula masing-masing berjumlah RM210,000 hingga RM270,000 untuk pakej gold dan RM300,000 untuk pakej VVIP.

Dalam pada itu, pihak polis menasihati orang ramai untuk sentiasa berwaspada mengenai skim sebegini dan membuat semakan yang terperinci sebelum menyertai mana-mana skim pelaburan atas talian untuk mengelakkan ditipu.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat