Nasional

KPM sudah kuat kuasa garis panduan urus isu salah laku gangguan seksual

Kementerian Pendidikan (KPM) memandang serius kes melibatkan gangguan seksual terhadap golongan kanak-kanak sekali gus melindungi golongan terbabit daripada menjadi mangsa oleh individu tidak bertanggungjawab.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, berkata, tindakan tegas mengikut undang-undang di bawah Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (Akta 792) adalah usaha kerajaan membanteras isu tersebut.

Malah, garis panduan pengurusan melibatkan salah laku berkaitan gangguan seksual turut dikeluarkan bagi memastikan tahap keselamatan institusi pendidikan di bawah KPM sentiasa terjamin.

“Kita sememangnya komited dengan kenyataan dan peringatan itu dan di peringkat KPM, kita sudah beri komitmen sepenuhnya (dalam menangani isu gangguan seksual ke atas pelajar).

“Sebab itu saya fikir penting untuk saya memperingatkan bahawa KPM tempoh hari sudah meluncurkan garis panduan pengurusan gangguan seksual di peringkat institusi pendidikan.

“Ini menunjukkan kita memandang serius kes pelajar yang menjadi mangsa penderaan seksual,” katanya pada Selasa.

Mengulas lanjut, Fadhlina mengharapkan kes berkaitan salah laku dan gangguan seksual di institusi pendidikan dapat dinoktahkan melalui pengenalan garis panduan yang perlu dipatuhi setiap warga kementerian berkenaan.

“Ini bukan sekadar garis panduan, tetapi menunjukkan keseriusan kita memastikan isu berkait rapat gangguan seksual ini benar-benar ditangani di peringkat KPM.

“Kita berharap seluruh warga KPM memberi komitmen dalam pelaksanaan garis panduan ini bagi memastikan isu ini dapat diselesaikan segera,” katanya.

Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi, Datuk Seri Azalina Othman Said mengumumkan, tindakan pendakwaan boleh dikenakan ke atas guru sekolah, jiran dan ahli keluarga kepada kanak-kanak mangsa penderaan seksual sekiranya menyembunyikan kejadian berkenaan.

Tindakan mengikut Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (Akta 792) itu adalah ke atas mereka termasuk orang awam yang gagal melaporkan kejadian menimpa mangsa kepada pihak berkuasa.

Bagaimanapun, Azalina mengakui sehingga kini belum ada pihak yang didakwa bagi kesalahan terbabit walaupun ia termaktub di bawah undang-undang berkenaan. – Harian Metro

Related Articles

Leave a Reply

Check Also
Close