Polis nafi kejadian membabitkan pergaduhan di sebuah rumah kongsi berhampiran Pasar Borong Selayang, Kuala Lumpur sebagai kes samun seperti yang didakwa di media sosial.
Menurut Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner, Ahmad Sukarno Mohd Zahari, polis menafikan kejadian yang membabitkan pergaduhan di sebuah rumah kongsi tersebut bukan kes samun seperti yang didakwa.
Katanya, seramai empat mangsa dihantar ke Hospital Selayang untuk mendapatkan rawatan lanjut susulan kejadian itu.
“Bertindak atas maklumat, sepasukan polis menahan dua lelaki warga Myanmar berusia 20 dan 21 tahun yang dipercayai terbabit dengan kes itu.
“Motif pergaduhan itu dipercayai akibat perselisihan faham antara suami isteri,” katanya dalam satu kenyataan media.
Tambah Ahmad Sukarno, semakan dilakukan mendapati kedua-dua suspek berkenaan tidak mempunyai rekod jenayah.
“Mereka direman bermula 18 Mac hingga 23 Mac bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 326 dan Seksyen 148 Kanun Keseksaan.
“Rakaman video itu dipercayai ditularkan individu yang terbabit dalam pergaduhan melibatkan lelaki warga Myanmar sebelum disebarkan oleh individu lain,” katanya.
Beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah percaya dengan maklumat tidak benar dan tidak berasas yang belum ditentukan kesahihan.
Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu yang melanggar undang-undang.
Sebarang maklumat berhubung insiden itu boleh disalurkan ke Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul di talian 03-4048 2222 untuk tindakan lanjut.
Baca juga: