RM3 juta lesap gara-gara terpedaya pelaburan palsu

Polis menerima laporan membabitkan penipuan skim pelaburan Forex daripada seorang wanita warga emas pada Rabu.

Wanita berusia 60-an itu menyatakan bahawa dia menerima satu pesanan ringkas berhubung skim pelaburan yang menawarkan keuntungan yang tinggi daripada nombor telefon tidak dikenali pada 22 Januari lalu.

Menurut kenyataan Ketua Polis Daerah Nilai, Supt Abdul Malik Hashim, sejumlah 60 transaksi berjumlah RM3.46 juta ke pelbagai akaun yang diberikan suspek telah dilakukan.

“Mangsa menyedari telah ditipu setelah membuat semakan ke atas laman web pelaburan tersebut dan mendapati tidak wujud.

“Bahagian Siasatan Jenayah Komersil, IPD Nilai akan menyiasat perkara ini di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.

Polis juga turut menasihati orang awam agar membuat semakan terlebih dahulu dengan pihak berkuasa atau Bank Negara Malaysia (BNM) sebelum menyertai apa-apa skim pelaburan atau skim cepat kaya.

Baca juga: