Kekalahan kali kedua bukan pengakhiran – Pan Gon

Ketua jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan Gon memohon maaf dan bertanggungjawab sepenuhnya ke atas kekalahan 0-2 kepada Oman pada perlawanan Kumpulan D pusingan kedua bagi Kelayakan Piala Dunia 2026/ Piala Asia 2027 di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) pada Selasa.

Bagaimanapun, Pan-gon menyifatkan kekalahan kedua itu bukan satu pengakhiran buat anak buahnya yang kini perlu mengharap keajaiban pada baki perlawanan kelayakan menentang Kyrgyzstan di Bishkek pada 6 Jun dan menamatkan saingan kumpulan menentang Taiwan di Bukit Jalil pada 11 Jun.

“Ini perlawanan yang sangat sukar, sebagai ketua, sebagai jurulatih, mohon maaf kepada rakyat Malaysia kerana kami tidak dapat beri anda kebanggaan, maksud saya keputusan yang lebih baik.

“Kami masih mempunyai dua lagi perlawanan jika ada keajaiban kami masih mempunyai peluang. Lebih baik jangan berputus asa dan kita akan berjuang sehingga ke akhirnya,” ujarnya.

Beliau juga optimis para pemain negara mampu menggunakan peluang untuk mempamerkan kebangkitan mereka selepas pulang ke pangkuan kelab masing-masing dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M) yang akan berlangsung pada Mei ini.

Sementara itu, jurulatih Oman, Jaroslav Silhavy mengakui kunjungan anak buahnya ke SNBJ mendatangkan cabaran sukar dibandingkan pada pertemuan pertama kedua-dua pasukan sebelum ini di Muscat minggu lepas.

Silhavy turut berkata, bahawa kejayaan mereka mendapatkan keputusan tersebut adalah disebabkan semangat sepasukan yang mereka miliki.

Difahamkan, misi Malaysia semakin sukar untuk layak lebih awal ke Piala Asia 2027 dan mara ke pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia di kedudukan teratas selepas kekalahan kedua berturut-turut dengan keputusan sama dengan Oman kerana berkongsi sembilan mata bersama Oman yang menghuni tangga kedua dalam kumpulan D.

Baca juga: