2 maut nahas bas persiaran terbalik di Bentong

Dua penumpang terdiri daripada seorang wanita dan lelaki warga asing maut dalam kejadian bas persiaran terbalik di Kilometer 51.4 Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak (KLK) berhampiran Hentian Rehat Lentang, Bentong pada pagi Jumaat.

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintenden Zaiham Mohd Kahar berkata, dalam nahas itu, 13 penumpang cedera dan dua daripada mereka termasuk pemandu bas dilaporkan mengalami kecederaan parah.

Menurutnya, bas terbabit dinaiki 20 penumpang termasuk pemandu dipercayai dalam perjalanan dari Terminal Bersepadu Selatan (TBS) menghala ke Kuantan.

“Lima lagi penumpang selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Mangsa yang meninggal dunia telah dihantar ke Hospital Bentong untuk proses bedah siasat manakala mangsa yang cedera juga dihantar ke hospital sama untuk menerima rawatan.

“Tiada mangsa tertindih di bawah bas sebagaimana video yang tular di laman sosial,” jelasnya.

Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, pihak bomba menerima laporan kejadian melibatkan bas persiaran jenis Hino itu pukul 7.53 pagi.

“Susulan itu, 19 anggota termasuk pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bentong ke lokasi untuk bantuan menyelamat,” katanya.

Difahamkan, pihak bomba membantu mengeluarkan mangsa tersepit menggunakan peralatan menyelamat sebelum dihantar untuk menerima rawatan.

Baca juga: