Lelaki warga Israel ditahan dengan 6 senjata api, 200 peluru

Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan seorang lelaki warga Israel bersama enam senjata api serta 200 peluru di sebuah hotel di Ampang pada Jumaat.

Menurut Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, suspek yang berusia 37 tahun itu telah ditahan oleh sepasukan pegawai dan anggota polis daripada Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.

“Ketika serbuan dilakukan, kami menemui dua pasport dimiliki lelaki berkenaan iaitu pasport Perancis yang digunakannya untuk masuk ke Malaysia dari Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada 12 Mac lalu serta satu pasport Israel.

“Hasil pemeriksaan lanjut, kami menemui enam senjata api jenis SIG Sauer, Smith and Wesson dan Glock beserta 200 peluru. Tiga daripapada senjata itu diisi peluru,” katanya memetik Harian Metro.

Katanya, suspek mendakwa dia masuk ke Malaysia untuk membunuh seorang individu warga Israel yang berkait masalah keluarga setelah disoal siasat.

“Selain itu, siasatan lanjut dilakukan dan mendapati suspek pernah menetap di beberapa hotel lain sebelum ditahan di hotel berkenaan (Jalan Ampang).

“Berkemungkinan lelaki terbabit mempunyai agenda lain yang membolehkan dia datang ke sini.

“Justeru, siasatan lanjut dilakukan bagi mengenal pasti motifnya secara menyeluruh termasuk kebarangkalian dia seorang ejen perisikan Israel,” katanya lagi.

Dalam masa sama, pihak polis juga akan mengsan individu yang membekalkan senjata api kepada suspek.

Oleh itu, suspek telah direman selama empat hari bermula semalam hingga 31 Mac untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 12 Akta Pasport 1966 dan Seksyen 7 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971.

Baca juga: