Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima kunjungan hormat Menteri Jabatan Perhubungan Antarabangsa Parti Komunis China Liu Jianchao di Perdana Putra, Putrajaya.
Dalam pertemuan itu mereka membincangkan tentang kunjungan rasmi Premier Li Qiang sempena sambutan ulang tahun ke-50 hubungan persahabatan Malaysia-China.
Kata Anwar dalam kenyataan di Facebook, mereka sebulat kata untuk memperkukuhkan kerjasama ekonomi terutamanya pelaburan dari China serta mempertingkat kesalinghubungan selain terus menjalin usaha sama dalam lapangan pendidikan dan sektor belia.
“Liu dan saya bersependapat untuk mempererat hubungan intra-parti dan berkongsi pendirian yang jitu dan kukuh terutamanya dalam konflik kemanusiaan melibatkan Palestin.
“Hubungan Malaysia dan China pasti akan terus diperkukuh demi kesejahteraan rakyat kedua-dua negara sahabat,” katanya.
Terdahulu, Kementerian Luar Malaysia dalam kenyataan memaklumkan lawatan kerja dua hari Liu ke Malaysia, yang bermula semalam, menyasarkan untuk menjalin kerjasama lebih erat antara parti politik di kedua-dua negara serta membincangkan isu serantau dan antarabangsa yang mempunyai kepentingan bersama.
Baca juga: