Penganjur Utama Fiesta Raya Baling 2024, Maju Kedah Resources membuat permohonan maaf secara terbuka susulan video tular memaparkan selebriti, Azwan Ali atau turut dikenali sebagai Diva AA, menari di atas pentas pesta berkenaan.
Katanya, perkara tersebut berlaku diluar jangkaan pihak penganjur dan menganggap ia merupakan gurauan diatas pentas memandangkan Diva AA tiada dalam senarai jemputan rasmi.
“Beliau hadir atas jemputan sahabatnya yang merupakan pempengaruh TikTok yang turut sama berniaga di Fiesta Raya Baling,” kata kenyataan tersebut.
Dalam pada itu, Kedah Maju Resources turut membuat keputusan untuk menutup terus penganjuran acara Fiesta Raya Baling 2024 itu selepas mendapat teguran daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bayu, Mohd Taufik Yaacob.
“Kami dengan rasa tanggungjawab dan menerima teguran daripada pihak YB (Yang Berhormat) Taufik untuk menutup terus menutup terus penganjuran acara Fiesta Raya Baling 2024 dan tarikh akhir kami beroperasi adalah pada 30 Mac 2024,” tambahnya.
Terdahulu, tular sebuah video yang memaparkan seorang selebriti popular tanah air, Azwan Ali menari dengan tarian yang agak keterlaluan dan warganet menganggap bahawa penganjuran acara tersebut seperti tidak menghormati bulan suci Ramadan.
Susulan video tular itu, pihak penganjur mengeluarkan kenyataan tersebut untuk memohon maaf dan mengumumkan penutupan operasi acara itu.
Baca juga: