Polis Johor kesan suspek kes buli tahun lalu menerusi video tular

Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan menerima laporan daripada seorang mangsa susulan video tular di laman Facebook yang memaparkan dirinya dibuli oleh beberapa individu di tepi padang bola di kawasan Taman Puteri Wangsa, Johor.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata pihaknya mengesahkan kejadian tersebut berlaku pada 14 Mei tahun lalu pada pukul 2 petang.

“Mangsa merupakan seorang remaja lelaki warga tempatan yang menyatakan dirinya telah dipukul oleh beberapa individu yang tidak dikenali.

“Mangsa mengatakan kejadian tersebut berpunca daripada perasaan tidak berpuas hati selepas berlaku perselisihan faham serta ejek mengejek antara mangsa dan suspek yang terlibat,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Raub turut menyatakan bahawa mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan dan tidak menerima rawatan di hospital.

Pihak IPD Johor Bahru Selatan turut menyatakan siasatan terhadap kes tersebut masih dijalankan untuk mengesan semua suspek yang terlibat.

Beliau turut menasihati orang ramai untuk tidak menyebarkan sebarang maklumat tidak pasti untuk mengelakkan sebarang kekeliruan dalam kalangan masyarakat.

Baca juga: