Keracunan makan kupang, 8 mangsa terima rawatan termasuk 2 di ICU

Dianggarkan lpan individu dimasukkan ke hospital dengan dua daripadanya dirawat di Unit Rawatan Rapi(ICU) selepas mengalami keracunan akibat memakan kupang yang dibeli dari dua buah pasar di sekitar daerah Port Dickson, Negeri Sembilan.

Menurut Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan (JKNS), Datuk Dr Harlina Abdul Rashid, kejadian itu mula dikesan pada 1 April lalu apabila Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Port Dickson menerima notifikasi dari Hospital Port Dickson.

“Dua kes telah dimasukkan ke ICU, lima kes dimasukkan ke wad biasa, dan satu satu kes telah dirawat sebagai pesakit luar.

“Siasatan awal mendapati kesemua kes terdiri daripada beberapa buah keluarga yang berbeza dan mempunyai sejarah memakan kupang yang dibeli dari dua buah pasar di sekitar Port Dickson,” katanya menerusi satu kenyataan pada Selasa.

Tambah Harlina, kesemua kes mengalami gejala sakit kepala, kebas tangan dan kaki, serta lemah otot manakala dua kes telah dimasukkan ke ICU kerana mengalami gejala yang lebih teruk iaitu paralisis (kelumpuhan).

“Siasatan kejadian mash dijalankan oleh JKNNS bersama Jabatan Perikanan Negeri Sembilan. Beberapa sampel telah diambil untuk analisa makmal dan pemakluman kepada semua fasiliti kesihatan telah dibuat untuk mengenal pasti kes-kes yang mempunyai gejala yang sama dengan sejarah pengambilan kupang atau dwicengkerang yang lain,” jelasnya.

Difahamkan, JKNS terus memantau perkembangan terkini kejadian keracunan kupang ini serta meningkatkan kesiapsiagaan dalam melaksanakan tindakan pencegahan dan kawalan dengan kerjasama pelbagai agensi yang berkaitan.

Justeru itu, orang ramai yang bergejala dan mempunyai sejarah memakan kupang atau dwicengkerang yang lain dinasihatkan untuk segera mendapatkan rawatan di fasiliti kesihatan berhampiran.

Baca juga: