Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan menafikan dakwaan mengatakan pertandingan Tilawah Al-Quran tidak dilaksanakan pada tahun ini.
Perkara itu dinyatakan beliau dalam satu hantaran di X yang turut menjelaskan negeri Pahang telah dipilih sebagai tuan rumah bagi acara tersebut untuk tahun ini.
“Hari ini saya menerima beberapa tangkap layar yang mendakwa kononnya pertandingan tilawah Al-Quran tidak dianjurkan pada tahun ini.
“Saya tegaskan bahawa kenyataan ini adalah sama sekali tidak benar,” katanya.
Beliau memberi reaksi demikian kerana wujud dakwaan kononnya acara tersebut tidak dilakukan pada tahun ini, tetapi pelbagai acara konsert dapat diadakan.
Individu berkenaan dikatakan telah memuat naik kenyataan mengatakan perkara tersebut di Facebook.
“Baru perasan tahun ini tiada pertandingan Tilawah Al-Qur’an. Sedangkan dah berpuluh tahun Malaysia anjurkan pertandingan tersebut. Konsert pulak lebih utama,” katanya dalam satu hantaran di Facebook miliknya.
Tambah Zulkifli, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telah menetapkan tarikh Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan akan diadakan pada 23 hingga 28 Mei 2024 di Kuantan, Pahang.
Selain itu, Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Antarabangsa pula akan diadakan pada 5 hingga 12 Oktober 2024.
Beliau turut menasihatkan orang ramai untuk sama-sama menyemak kebenaran fakta sebelum disebarkan selaras dengan firman Allah dalam Surah Al-Hujurat:
“Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya.”
Difahamkan, bersempena dengan 10 malam terakhir bulan Ramadan, beliau menyeru semua umat Islam bersama-sama meningkatkan amal ibadah dan meninggalkan perkara yang sia-sia.
Baca juga: