Lelaki maut kereta bertembung treler depan masjid

Seorang lelaki meninggal dunia selepas kereta jenis Perodua Viva dinaikinya terlibat dalam satu kemalangan dengan sebuah treler di Masjid Jamek Kampung Pulai Sebatang, Pontian, Johor pada Jumaat.

Polis trafik di Ibu Pejabat Daerah Pontian telah menerima maklumat tentang kemalangan itu kira-kira pukul 2.20 petang.

Ketua Polis Daerah Pontian, Mohammad Shofee Tayib berkata, hasil siasatan awal Bahagian Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik Daerah (BSPTD) Pontian mendapati pemandu kereta Perodua Viva memandu dari arah Batu Pahat ke Pontian.

“Apabila sampai ditempat kejadian dapati kereta mangsa gagal dikawal lalu terbabas ke laluan bertentangan dimana motorlori sedang dalam perjalanan dari Pontian ke Batu Pahat yang menyebabkan perlanggaran tersebut berlaku.

“Kemalangan tersebut mengakibatkan seorang pemandu kereta Perodua Viva meninggal dunia di tempat kejadian manakala seorang lagi pemandu motorlori tiada sebarang kecederaan,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambah Shofee, mangsa yang meninggal dunia merupakan lelaki warga tempatan berusia lingkungan 58 tahun.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang mana jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan penjara selama tempoh yang boleh sampai sepuluh tahun dan boleh juga dikenakan denda minimum RM20,000 sehingga RM50,000,” jelasnya.

Beliau turut mengingatkan semua pengguna jalan raya agar lebih berhati-hati semasa memandu dan mematuhi undang-undang yang telah ditetapkan, terutamanya pada bulan Ramadan.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat