Motosikal dan kereta musnah dalam kebakaran rumah

Kejadian kebakaran dipercayai melibatkan sebuah kenderaan, sebuah motosikal dan sebuah rumah telah hangus dijilat api di Kampung Karamatoi, Sook, Sabah baru-baru ini.

Komander Operasi, Pegawai Kanan Bomba Ranizan Samirin melaporkan, lokasi kebakaran adalah sejauh 32 kilometer dan jentera dapat sampai ke lokasi kejadian pada pukul 3 pagi.

“Sejurus pihak kami di Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Sabah mendapat panggilan kecemasan, seramai tujuh anggota Bomba daripada Balai Bomba dan Penyelamat Sook telah bergegas ke lokasi kejadian bersama jentera.

“Setibanya kami di lokasi kejadian, kebakaran tersebut melibatkan sebuah rumah terbakar bersama motosikal yang hangus 100 peratus kesemuanya.

“Dalam masa sama, sebuah kenderaan jenis Proton Iswara turut terbakar mengalami kebakaran sebanyak 10 peratus selain, tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian itu,” katanya dalam satu kenyataan.

Dalam pada itu, pasukan Bomba bertindak memadamkan kebakaran dengan menggunakan sumber air daripada jentera dan air terbuka iaitu sungai berdekatan.

Operasi pemadaman api dapat dikawal pada pukul 3.15 pagi dan tamat sepenuhnya pada pukul 3.55 pagi.

Baca juga: