Pejalan kaki maut dilanggar beberapa kali ketika lintas lebuh raya

Seorang pejalan kaki maut akibat tercampak dan dilanggar beberapa kali oleh kenderaan ketika cuba melintas laluan Lebuhraya PLUS dari arah Rawang menghala ke Ipoh pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Polis, Noor Ariffin Mohamad Nasir berkata, hasil siasatan awal dijalankan mendapati mangsa cuba untuk melintas lebuhraya dari arah kiri ke kanan jalan.

“Seterusnya, semasa melintas mangsa telah dilanggar oleh sebuah kenderaan dan tercampak ke atas jalan sebelum dilanggar oleh beberapa kenderaan lain.

“Sehubungan itu, mangsa telah dibawa ke Forensik Hospital Sungai Buloh untuk tindakan selanjutnya.

“Siasatan masih diteruskan bagi mengenal pasti mangsa yang terlibat dalam kemalangan tersebut memandangkan tiada dokumen pengenalan diri,” katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, kes disiasat dibawah Seksyen 41(1) APJ 1987.

Orang ramai yang menyaksikan atau mempunyai sebarang maklumat mengenai kejadian tersebut diminta tampil bagi membantu siasatan.

Boleh hubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Mohamad Suhaimi Tukmin di talian 013-7557 556 atau bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak di talian 03-6126 2222.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat