Padah main mercun bola, remaja reda kudung ibu jari kanan

Dalam kemeriahan menyambut Syawal, hanya sesalan menyelubungi diri Mohd Thaqif Qaisar, 16, apabila terpaksa menerima hakikat bahawa anggota fizikalnya tidak lagi sempurna angkara bermain mercun bola.

Thaqif menyatakan penyesalan selepas ibu jari kanannya terputus akibat bermain mercun bola di kawasan kediamannya di Kuala Nerang, Kedah.

Jelasnya, kejadian itu berlaku apabila dia menyangka mercun tersebut telah rosak kerana masuk angin kerana sumbu mercun tidak terbakar.

“Saya ingatkan masuk angin sebab mercun itu tak menyala, jadi saya pegang dan nak cucuh (nyalakan) api sekali lagi.

“Tiba-tiba sumbu mercun terbakar dan tak sempat saya nak baling, mercun tu meletop di tangan saya,” katanya ketika ditemui oleh wartawan Malaysia Bangkit.

Tambah Thaqif, sewaktu kejadian itu berlaku, ibu bapanya tiada di rumah kerana solat tarawih dan Thaqif terus ke rumah jiran dan meminta untuk membawanya ke Hospital Kuala Nerang.

“Saya mintak tolong jiran untuk bawa saya ke hospital dan sepanjang perjalanan saya hampir pitam.

“Selepas sampai ke hospital doktor pun bagi rawatan, telefon ibu ayah untuk datang hospital dan maklumkan bahawa ibu jari saya perlu menjalani pembedahan, namun tidak boleh diselamatkan lagi,” katanya.

Selepas mendengar berita duka itu, Thaqif tidak mampu berkata apa-apa selain menyesal dengan perkara yang berlaju terhadap dirinya.

Tambah Thaqif, dia terpaksa beraya di hospital sehingga pihak hospital membenarkan dirinya untuk pulang.

Dinasihatkan kepada semua masyarakat agar memantau aktiviti anak-anak terutama menjelang musim perayaan supaya tiada insiden buruk yang menimpa diri.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat