Sanggup redah perjalanan lebih 300km untuk pulang beraya

Demi memastikan hasrat untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri bersama keluarga, seorang lelaki rela menempuh perjalanan lebih 300 kilometer (km) semata-mata untuk pulang ke kampung.

Muhammad Iman Hakim Puteh, 25, yang berasal dari Kulim, Kedah, tidak menjadikan jarak itu sebagai kekangan, apatah lagi dia sendiri yang memilih untuk mencari rezeki di Kuala Lumpur.

Berkhidmat di sebuah syarikat swasta sebagai pegawai khidmat pelanggan, Muhammad Iman sentiasa memastikan agar dia dapat pulang ke kampung halaman untuk menyambut hari raya bersama keluarga terutama ibunya, Norashidah, 56.

“Pilihan saya untuk keluar dari negeri asal usul untuk mencari rezeki, bukan hanya untuk diri sendiri tetapi rezeki yang diperolehi adalah buat perkongsian keluarga yang tersayang juga.

“Hasil titik peluh saya seiring dengan doa ibu saya sendiri dan saya pulang bukan dengan tangan kosong malah dengan kejayaan yang ingin dikongsikan bersama,” katanya ketika dihubungi Malaysia Bangkit.

Selain itu, Muhammad Iman merupakan anak ketiga daripada empat beradik itu berasa sebak apabila berkongsikan tentang ketiadaan ketua keluarganya agak sukar tetapi ia juga bukan satu halangan buat dirinya untuk terus kuat menghadapi cabaran hidup.

“Pemergian ayah saya pada tahun 2020 adalah satu dugaan yang begitu besar buat saya dan keluarga tetapi perkara tersebut adalah salah satu punca untuk saya terus kuat.

“Apabila hari lebaran semakin hampir, perasaan sedih mula menyelubungi jiwa kerana tidak lengkap tanpa kehadiran seorang ayah, tetapi, itu bukan alasan untuk terus bersedih kerana saya percaya arwah semestinya tidak mahu ahli keluarganya terus bersedih.

“Selain sanggup meredah perjalanan lebih 300 kilometer untuk balik kampung, saya juga merasakan keterujaan sepanjang perjalanan itu kerana ingin pulang ke rumah yang boleh dianggap sebagai syurga dunia buat saya menjelang hari raya Aidilfitri,” katanya lagi.

Iman turut berkata, tanggungjawab seorang anak itu masih belum sempurna tanpa doa dan senyuman seorang ibu kepada anaknya di samping, berusaha meraih kesempurnaan secara rohani dan jasmani.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat