8 individu lagi dikesan bergaduh di kasino Genting Highlands

Polis aktif mengesan lapan lagi individu yang terlibat dalam kes pergaduhan di sebuah kasino di Genting Highlands pada 6 April lalu.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, seramai empat lelaki ditahan dan telah dituduh di Mahkamah Majistret Temerloh setakat ini.

“Melalui pemeriksaan lanjut terhadap kamera litar tertutup (CCTV), pihak polis mengesahkan terdapat lapan lagi individu yang terlibat dengan kejadian tersebut dan masih bebas.

“Orang ramai atau saksi bebas yang melihat kejadian ini diminta tampil membantu siasatan dan memberikan kerjasama dengan menyalurkan maklumat berkaitan kesemua suspek,” katanya.

Sebelum ini, berlaku kejadian pergaduhan berlaku kira-kira pukul 4 pagi yang melibatkan dua kumpulan di Kasino Genting Club, Genting Highlands di Bentong.

Susulan itu, empat lelaki warganegara tempatan berumur antara 23 hingga 50 tahun ditahan kerana terlibat dalam kejadian pergaduhan di dalam kasino berkenaan.

Kata Yahaya, empat suspek didakwa mengaku bersalah dan diikat jamin RM2,200 sementara menunggu sebutan semula kes pada 17 April depan.

Katanya, mana-mana pihak yang mempunyai maklumat berkaitan lapan lagi suspek diminta menghubungi Pusat Kawalan Daerah (DCC) Ibu Pejabat polis Daerah (IPD) Bentong di talian 09-222 2222 atau mana-mana balai polis berhampiran.

Baca juga: