Seorang maut, kenderaan terbabas masuk parit

Seorang maut dalam sebuah kemalangan melibatkan sebuah kenderaan jenis Perodua Exora yang terbabas lalu jatuh ke dalam parit di Jalan Felda Lembah Klau 2, Raub, Pahang pada pukul 1.33 petang, Jumaat.

Komander Operasi, PBK II Khairul Azhar Samah berkata, seramai lima orang mangsa telah diselamatkan oleh anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM).

“Kenderaan tersebut menjunam ke dalam parit sedalam 25 kaki (7 meter) dari aras jalan raya dan kesemua mangsa dikeluarkan dari kenderaan oleh orang awam.

“Kemudian, mangsa telah dibawa naik ke tempat selamat dengan menggunakan pengusung oleh pihak bomba,” katanya menerusi kenyataan.

Khairul turut berkata, seorang mangsa telah disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan diserahkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut.

Tambahnya, mangsa yang cedera pula telah dikejarkan ke hospital untuk rawatan lanjut dengan menaiki ambulans dan kenderaan unit EMRS bomba.

Operasi menyelamat tersebut melibatkan enam orang anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Raub dengan jentera FRT dan kenderaan unit EMRS.

Baca juga: