Kerajaan MADANI optimis jaga kebajikan semua kaum di Malaysia

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak mengamalkan sikap pilih bulu terhadap bantuan atau menyediakan keperluan rakyat tanpa mengira bangsa atau kaum.

Perhatian sama tetap diberikan kepada masyarakat India yang turut menjadi fokus kerajaan bagi membantu dalam menoktahkan kemiskinan dan meningkatkan daya ekonomi komuniti.

Anwar berkata, Kerajaan MADANI sentiasa optimis dalam melaksanakan tanggungjawab terhadap rakyat tanpa mengira batasan kaum dan agama.

Katanya, pentadbiran negara dibangunkan berdasarkan dasar seluruh warga Kerajaan MADANI, dan tanggungjawab itu akan diteruskan berdasarkan kepercayaan yang diberikan mandat kepada pemimpin negara.

“Usah terperangkap dengan agenda perkauman serta pentaksub keagamaan yang menanam benih perbalahan dan kebencian antara kaum.

“Malaysia hanya mampu mengecap kejayaan jika kita kembali kepada nilai-nilai asas yang menjadi tunjang pembentukan negara ini yakni kemanusiaan, keadilan dan perpaduan,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook miliknya yang hadir merasmikan Konvensyen Antarabangsa Dr Ambedkar Ke-5 dan Sambutan Hari Kelahiran Dr Ambedkar Ke-133 di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) Shah Alam, Selangor pada Ahad.

Sementara itu, Anwar turut menegaskan bahawa Malaysia perlu mengambil iktibar daripada kisah perjuangan Dr Ambedkar dengan berusaha menjadikan Malaysia sebuah negara yang subur dengan wacana intelektual, menghargai perspektif yang rencam serta menguruskan perbezaan pandangan dengan tertib dan sopan.

“Karya dan ucapan beliau wajar diteladani pemimpin dan wakil rakyat di negara ini supaya kita dapat menghasilkan wacana yang berkualiti dengan cadangan-cadangan kritis di Dewan Rakyat ketimbang perdebatan remeh dan picisan yang mencemarkan kemuliaan Parlimen.

“Saya kagum dengan kisah kegigihan Dr Ambedkar yang bangun melawan dan mengubah prejudis berusia ratusan tahun hingga menjadi Menteri Undang-Undang India yang pertama,” ujarnya.

Tambah beliau, falsafahnya terkait demokrasi sosial yang mengupas soal keadilan, kebebasan dan persaudaraan begitu mengesankan.

Untuk rekod, Dr Ambedkar adalah seorang pendeta dan tokoh besar dalam perjuangan menuntut keadilan sosial bagi golongan miskin dan terpinggir serta penentangan terhadap prejudis, diskriminasi dan penindasan khususnya di India.

Baca juga: