Lelaki rugi lebih RM500,000 melabur dalam aplikasi tak wujud

Seorang pengurus jualan syarikat elektronik mengalami kerugian sebanyak RM577,912 selepas melabur ke dalam satu aplikasi tidak wujud secara atas talian di daerah Johor Bahru Selatan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Superintenden Lim Jit Huey berkata, pengadu merupakan seorang lelaki warga tempatan berusia 58 tahun yang mengenali suspek melalui aplikasi WeChat.

“Suspek menggunakan nama samaran sebagai Amy kemudiannya menawarkan pengadu untuk menyertai pelaburan emas menggunakan aplikasi Upbest dan dijanjikan pulangan sebanyak 10 peratus daripada jumlah modal dalam tempoh masa 60 minit.

“Pengadu yang tertarik dengan keuntungan yang dijanjikan tersebut kemudiannya mengikut arahan suspek membuat bayaran kepada beberapa akaun bank tempatan mengikut jumlah kerugian yang dinyatakan,” katanya menerusi kenyataan pada Ahad.

Pengadu turut menyatakan keuntungan yang dijanjikan telah dipaparkan dalam aplikasi Upbest berkenaan, namun wang tersebut gagal untuk dikeluarkan atas pelbagai alasan.

Lim turut berkata, suspek juga sering mendesak pengadu untuk membuat bayaran tambahan selepas itu dan pengadu terus membuat laporan polis setelah menyedari dirinya sudah ditipu.

Kes disiasat dibawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Polis turut menyeru orang ramai untuk tidak mudah percaya dengan tawaran pelaburan dalam talian untuk mengelakkan diri mereka menjadi mangsa penipuan pelaburan tidak wujud.

Baca juga: