Polis jejak 2 lelaki terlibat kes samun bersenjata parang di kedai serbaneka

Polis menyiasat kejadian samun berkumpulan bersenjatakan parang yang berlaku di kedai serbaneka 7-Eleven, Jalan Besar, Pekan Nanas, Pontian, Johor pada Ahad.

Timbalan Ketua Polis Daerah Pontian Abdul Hamid Abdul Rahaman berkata, pihak polis menerima maklumat dari pekerja kedai serbaneka tersebut.

“Berdasarkan siasatan di tempat kejadian mendapati suspek adalah dua orang lelaki yang memakai pelitup muka dan berfizikal kurus serta tinggi lebih kurang 170 sentimeter.

“Dalam pada itu, kedua-dua suspek memakai jaket warna biru gelap serta jaket warna merah dan salah seorangnya bersenjatakan parang panjang berukuran 45 sentimeter.

“Kedua-dua suspek juga berjaya melarikan wang perniagaan kedai serbaneka itu dan barang kemas milik mangsa,” katanya dalam satu kenyataan.

Sehubungan itu, kes disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sekali sebatan.

Justeru itu, pihak polis menyeru mana-mana individu yang mempunyai maklumat berkaitan kes tersebut boleh terus hubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Wan Nor Ismaliza Wan Ismail di talian 016-208 9835 atau tampil di mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

Baca juga: