Wanita cedera selepas diragut di Klang

Seorang wanita mengalami kecederaan selepas diragut di hadapan Sekolah Menengah Kebangsaan Perempuan Raja Zarina, Klang, Selangor pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, siasatan awal mendapati suspek merupakan seorang lelaki yang menunggang motosikal jenis Yamaha Y15 berwarna gelap.

“Mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha LC didekati oleh suspek dari arah belakang yang kemudiannya bertindak menarik beg silang yang disilangkan di badan mangsa.

“Akibat perbuatan itu, mangsa telah hilang kawalan dan terjatuh di atas jalan raya hingga mengalami luka di kedua-dua belah tapak tangan, kedua-dua belah lutut dan bahu kiri,” katanya menerusi kenyataan pada Khamis.

Cha berkata, beg silang yang diragut mengandungi telefon bimbit jenis iPhone 14 berwarna ungu, dompet berisi dokumen peribadi dan wang tunai berjumlah RM114, jumlah kerugian dianggarkan kira-kira RM3,000.

Tambahnya, kes disiasat dibawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan dan pihak polis sedang giat mengenal pasti suspek dan akan membuat tangkapan dalam masa terdekat.

Pihak polis turut menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat untuk menyalurkannya kepada balai polis berhampiran atau hubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan di talian 03-33762222.

Baca juga: