Kilang proses bahan plastik di Pelabuhan Klang hangus terbakar

Tiga bangunan kilang dipercayai memproses bahan plastik musnah terbakar di Solok Selatan 21, Pelabuhan Klang, Selangor pada Isnin.

Komander Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Negeri Selangor, Nordin Misban berkata, terdapat tiga buah kilang kesemuanya yang terlibat dalam kebakaran itu berkeluasan 140 x 60 kaki setiap unit.

“Ketika pihak Bomba tiba, didapati kebakaran awal adalah melibatkan sebuah kilang yang memproses bahan plastik telah terbakar kira-kira 80 peratus, bagaimanapun, tiada mangsa yang terlibat.

“Operasi pemadaman telah dijalankan oleh pasukan Bomba dan kebakaran dapat dikawal pada pukul 5.30 pagi.

“Kerja-kerja pemadaman termasuk ‘overhaul’ telah dijalankan oleh pasukan Bomba,” katanya dalam satu kenyataan.

Susulan itu, seramai 54 anggota Bomba daripada 11 buah balai bersama empat jentera FRT, jentera LFRT, lima jentera Water Tanker, jentera ALP, kenderaan BATV serta dua kenderaan Unit EMRS telah bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan.

Difahamkan, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) yang terlibat adalah BBP Andalas, BBP Klang Utara, BBP Kota Raja, BBP Shah Alam, BBP Bukit Jelutong, BBP Cyberjaya, BBP Klang Selatan, BBP Rawang, BBP Subang, BBP Damansara dan BBP Hartamas.

Turut hadir, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, JBPM Negeri Selangor, PgKB I Ahmad Mukhlis Mukhtar dan beberapa pegawai kanan negeri dan zon.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat