Anwar ucap takziah kepada keluarga mangsa nahas helikopter terhempas di Lumut

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan rasa dukacitanya terhadap tragedi yang menimpa 10 mangsa yang terbabit dalam nahas dua helikopter di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut pada Selasa.

Menerusi satu ciapan di akaun X miliknya, beliau mengucapkan takziah kepada semua keluarga mangsa yang terkorban dan berdoa agar diberi kekuatan dalam menghadapi musibah tersebut.

“Tragedi ini ternyata memberi kesan yang mendalam kepada keluarga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan kehilangan besar buat negara.

“Saya dimaklumkan satu siasatan segera akan dijalankan Kementerian Pertahanan khususnya TLDM untuk mencari punca nahas,” katanya.

Pada masa yang sama, beliau turut mendoakan semoga roh semua yang terkorban dicucuri rahmat dan diampunkan segala dosa mereka dan semoga Tuhan mengasihi mereka dan memberi tempat dan kedudukan yang istimewa.

Terdahulu, dua helikopter TLDM dilaporkan bertembung ketika latihan Lintas Hormat Sambutan Hari Ulang Tahun Tentera Laut Diraja Malaya ke-90.

Susulan itu, TLDM telah mengesahkan insiden berkenaan menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan bahawa insiden tersebut melibatkan seramai 10 orang iaitu masing-masing tujuh kru HOM TLDM dan tiga kru Fennec TLDM.

Baca juga: