Bank Negara Malaysia (BNM) telah melancarkan pengeluaran duit syiling RM10 dan RM1 peringatan bersempena dengan sambutan ulang tahun ke-50 Lembaga Pertubuhan Ladang (LPP).
Menurut BNM dalam satu kenyataan, duit syiling peringatan itu akan dikeluarkan dalam dua denominasi berbeza iaitu, duit syiling peringatan Perak sterling berwarna (pruf) dan duit syiling peringatan Emas Nordic Brilliant Uncirculated (B.U.).
“Bagi syiling pruf, sejumlah 1,000 keping telah ditempa dan duit syiling ini diperbuat daripada perak sterling dengan ketulenan 92.5 dan mempunyai berat 31 gram, nilai muka duit syiling ini ialah RM10 dan akan dijual dengan harga RM275 sekeping.
“Sejumlah 5,000 keping telah ditempah dan nilai muka duit syiling tersebut ialah RM1 dan akan dijual pada harga RM16.50 sekeping.
“Duit syiling itu juga tersedia dalam bentuk set dua dalam satu untuk jualan pada harga RM330,” katanya dalam kenyataan.
BNM berkata, pihaknya menyediakan sejumlah 1,000 set untuk pembelian dan dalam set tersebut ia mengandungi sekeping duit syiling pruf perak sterling berwarna dan sekeping duit syiling pruf emas Nordic.
Pada bahagian hadapan duit syiling ia memaparkan imej seorang petani yang sedang memerhatikan mesin penuai dan dron baja, melambangkan sumbangan LPP dalam memodenkan serta meningkatkan produktiviti pertanian di Malaysia.
Manakala bahagian belakang pula tertera nama Bank Negara Malaysia sebagai pihak berkuasa yang mengeluarkan duit syiling numismatik dipaparkan pada sekeliling bahagian kanan duit syiling.
“Setiap individu hanya boleh membeli satu set dua dalam satu, sekeping duit syiling perak sterling berwarna (pruf) dan tidak lebih daripada lima keping duit syiling emas Nordic (B.U.).
“Tempahan boleh dibuat bermula 11 pagi Isnin 22 April 2024 hingga 11 malam Ahad, 5 Mei 2024 melalui duit.bnm.gov.my,” ujarnya
Difahamkan, orang ramai dinasihatkan supaya membuat tempahan menerusi sistem dalam talian BNM sahaja dan bukannya melalui mana-mana pihak lain.
Baca juga: