Tergamak bakar kucing hidup-hidup, Polis buru tiga lelaki

Polis sedang mengesan tiga lelaki tempatan kerana disyaki membakar seekor anak kucing hidup-hidup di kawasan tempat letak motosikal Flat Sri Kenari, Sungai Ramal Baru, Kajang, pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Kajang, ACP Mohd Zaid Hassan berkata perbuatan berkenaan dirakam kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi berkenaan.

Mohd Zaid berkata, pihak polis menerima laporan daripada seorang wanita berusia 63 tahun berhubung kejadian itu dan semakan pihak polis terhadap rakaman CCTV mendapati kejadian berlaku pada pukul 1 tengah hari pada Isnin.

“Menerusi rakaman berkenaan dua daripada tiga lelaki yang sedang melepak di tempat letak motosikal telah menyimbah bahan bakar ke badan anak kucing tersebut sebelum menyalakan api, ketiga-tiga mereka kemudian hanya melihat anak kucing itu berlari dalam keadaan badan terbakar,” katanya.

Menurut Mohd Zaid, seorang penduduk di flat berkenaan kemudian terlihat anak kucing itu yang berlari dalam keadaan terbakar dan kemudian mencurahkan air sebelum memberitahu kepada pengadu.

“Pengadu kemudian mencari anak kucing itu di sekitar kawasan flat dan menjumpainya dalam keadaan lemah dan segera menghantarnya ke sebuah klinik haiwan swasta di Ampang dan kini dirawat akibat melecur tahap dua,” katanya.

Anak kucing tersebut dianggarkan berusia enam minggu dengan berat 300 gram dan keadaan kucing itu agak kritikal dan perlu diletakkan bawah pemerhatian rapi selama seminggu.

Walaubagaimanapun Mohd Aziz berkata, pihak polis telah mengenal pasti tiga lelaki berkenaan dan sedang giat mengesan mereka yang terlibat.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 428 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat kepada binatang dan sekiranya disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara hingga tiga tahun atau denda atau kedua-duanya,” katanya.

Baca juga: