Penstrukturan semula akaun KWSP tangani keperluan semasa

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengumumkan insiatif Penstrukturan Semula Akaun KWSP berkuat kuasa 11 Mei 2024 bertujuan menambah baik keselamatan pendapatan persaraan di samping memenuhi keperluan kitaran hidup ahli.

Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Ahmad Zulqarnain Onn berkata, fokus utama insiatif Penstrukturan Semula Akaun KWSP adalah untuk memperkasa ahli dalam membuat keputusan.

“Inisiatif tersebut bagi mengimbangi keperluan kewangan jangka pendek, sederhana dan panjang. Inisiatif ini juga dapat membantu meningkatkan simpanan persaraan ahli supaya mereka menerima pendapatan persaraan yang mencukupi untuk membiayai kehidupan persaraan mereka kelak,” katanya menerusi kenyataan dikeluarkan KWSP.

Akaun ahli akan distruktur semula daripada dua akaun iaitu Akaun 1 dan Akaun 2 kepada tiga akaun seperti berikut:

•  Akaun Persaraan untuk mengumpul simpanan sebagai pendapatan semasa persaraan.
•  Akaun Sejahtera untuk menangani keperluan kitaran hayat yang menyumbang kepada kesejahteraan semasa persaraan.
•  Akaun Fleksibel sebagai akaun baharu untuk menyediakan fleksibiliti untuk keperluan kewangan jangka pendek. Simpanan dalam akaun ini boleh dikeluarkan pada bila-bila masa mengikut keperluan ahli.

Selain itu, ringkasan pindahan amaun permulaan adalah tertera seperti berikut:

Dalam pada itu, ahli KWSP hanya boleh membuat pilihan untuk pindahan amaun permulaan ke Akaun Fleksibel sekali sahaja bermula dari tarikh kuat kuasa hingga 31 Ogos 2024.

“Selepas tarikh tersebut, pilihan ini tidak boleh dibatalkan. Ahli yang ingin menggunakan pilihan ini perlu mengemukakan permohonan melalui aplikasi KWSP i-Akaun atau Self-Service Terminal di mana-mana cawangan KWSP di seluruh negara,” menurut kenyataan KWSP.

Tambah Ahmad Zulqarnain, inisiatif berkenaan bukan sekadar tindak balas KWSP terhadap keperluan semasa, tetapi merupakan langkah proaktif untuk membantu ahli menghadapi perubahan landskap pekerjaan serta keperluan kitaran hayat ahli KWSP.

“Dengan penambahbaikan ini, KWSP berusaha untuk memastikan setiap ahli KWSP dapat menguruskan kewangan mereka dengan yakin dan berdaya tahan dalam persekitaran yang dinamik dan mencabar ini,” katanya.

Sehubungan itu, KWSP telah memperkenalkan Akaun Fleksibel yang membolehkan ahli membuat pengeluaran pada bila-bila masa, dengan syarat minimum pengeluaran RM50.

Pengeluaran boleh dilakukan secara dalam talian melalui KWSP i-Akaun atau di cawangan KWSP dan ahli digalakkan mendaftar i-Akaun untuk kemudahan transaksi.

Sementara itu, simpanan dalam Akaun Persaraan, Akaun Sejahtera, dan Akaun Fleksibel ahli yang mencapai umur 55 tahun akan disatukan ke dalam Akaun 55. Caruman baru ahli selepas umur 55 tahun akan dikreditkan ke dalam Akaun Emas.

“Sistem ini akan dilancarkan pada 12 Mei 2024. Untuk maklumat lanjut, ahli boleh mengunjungi cawangan KWSP, laman web rasmi KWSP, atau melalui KWSP i-Akaun,” menurut kenyataan itu lagi.

Baca juga: