Rumah Terbuka Aidilfitri Selangor di Kuala Kubu Baharu langgar akta – Bersih

Penganjuran Rumah Terbuka Aidilfitri Peringkat Negeri Selangor yang akan dianjurkan di Pekan Kuala Kubu Baharu (KKB) Sabtu ini, boleh bercanggah dengan banyak peruntukan dalam Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 (AKPR).

Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) mempersoalkan lokasi dan masa penganjuran rumah terbuka ini kerana majlis ini dianjurkan di kawasan dan ketika Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu bakal diadakan.

“Berdasarkan risalah program tersebut yang kami terima, pelbagai aktiviti sambutan akan diadakan seperti jamuan makan dan pemberian duit raya.

“Pemberian atau penjamuan makanan semasa tempoh pilihan raya adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 8 (Penjamuan) dan pemberian duit raya adalah kesalahan di bawah Seksyen 10 (Penyogokan).

“Kerajaan Negeri Selangor juga perlu sedar disebabkan penganjuran rumah terbuka ini menggunakan sumber kerajaan negeri, maka mereka perlu memastikan bahawa majlis tersebut tidak digunakan sebagai platform untuk memperkenalkan calon daripada komponen parti kerajaan.

“… dan seterusnya berkempen dengan memasang bendera dan kaedah-kaedah kempen yang lain yang bertujuan untuk memenangkan calon mereka,” kata Bersih dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada Jumaat.

Bersih turut memaklumkan, penggunaan sumber kerajaan bukan sementara seperti Kerajaan Negeri atau Kerajaan Persekutuan semasa tempoh pilihan raya kecil seperti di PRK KKB ini perlu mematuhi prinsip 3C yang digariskan oleh Bersih sebelum ini iaitu ‘No Conditions’ (Tanpa Syarat), ‘No Campaign’ (Tanpa Kempen) dan ‘No Candidate’ (Tiada Calon).

Justeru itu, Bersih juga mengingatkan parti-parti politik atau mana-mana calon yang ingin bertanding dalam pilihan raya itu dan bercadang untuk menganjurkan majlis rumah terbuka peringkat parti atau kapasiti masing-masing supaya tidak berbuat demikian kerana aktiviti tesebut adalah bercanggah dengan AKPR.

“Bersih sekali lagi menegaskan kepada semua pihak yang akan bertanding dalam PRK KKB ini terutamanya pihak Kerajaan Negeri Selangor dan Kerajaan Persekutuan agar mematuhi etika kempen pilihan raya supaya pilihan raya di negara kita dapat berjalan dengan bersih dan adil,” katanya.

Terdahulu, Kerajaan Negeri Selangor dijadualkan mengadakan majlis rumah terbuka peringkat negeri sempena Aidilfitri di Bandar Kuala Kubu Baharu pada 27 April ini, bermula 8 malam.

Menurut Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, aneka juadah disediakan kepada pengunjung selain pemberian duit raya dan pertunjukan bunga api.

Baca juga: