Polis tahan dua lelaki disyaki terlibat kes bunuh di Kapar

Dua lelaki diberkas bagi membantu siasatan kes seorang peniaga mati dibunuh sekumpulan lelaki bersenjatakan parang dan ‘taser gun’ (pistol perenjat elektrik) di Taman Jaya, Kapar, Klang pada Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S. Vijaya Rao dalam kenyataan hari ini berkata, kedua-dua suspek tempatan berusia 25 dan 28 tahun itu ditahan pihaknya pada Isnin dan Selasa.

“Penahanan mereka dilakukan di sekitar Kapar bagi membantu siasatan kes pembunuhan itu.

“Suspek pertama direman selama tujuh hari manakala tempoh reman ke atas suspek terbaharu akan diperoleh esok. Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.

Tular sebelum ini rakaman seorang peniaga dibunuh oleh empat lelaki yang memasuki rumah mangsa dan kemudian menetak lelaki itu berkali-kali menggunakan parang dalam kejadian di Taman Jaya, Kapar.

Kesemua suspek kemudian melarikan diri menggunakan kereta jenis Perodua Myvi selepas membunuh mangsa sebelum mayatnya ditemui dengan lebih tiga kesan tetakan pada anggota badan dalam keadaan tertiarap di depan bilik tidur. 

Baca juga: