Rayuan Siti Bainun ditolak, kekal dipenjara 12 tahun

Pengasas kepada Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali didapati kekal bersalah dan disabit hukuman penjara 12 tahun kerana mengabai dan menganiaya seorang remaja perempuan sindrom Down yang dikenali sebagai Bella tiga tahun lalu.

Sehubungan itu, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Noorin Badaruddin menolak rayuan Siti Bainun yang diputuskan oleh Mahkamah Sesyen sebelum ini.

Pada 3 Mei 2023, Hakim Mahkamah Sesyen, Izralizam Sanusi Izraliza telah menjatuhkan hukuman terhadap wanita itu di atas dua pertuduhan iaitu mengabai dan menganiaya Bella, 13, sehingga menyebabkan remaja itu cedera fizikal serta emosi di sebuah kondominium di Wangsa Maju pada Februari hingga Jun 2021.

“Mahkamah Sesyen memerintahkan dia menjalani hukuman kerana telah mengabaikan Bella, dia dipenjara selama 10 tahun, manakala, 12 tahun bagi pertuduhan kes menganiaya.

“Mahkamah memerintahkan kedua-dua hukuman itu berjalan serentak bermula tarikh hukuman tersebut dan telah dibawa ke Penjara Kajang untuk menjalani hukuman,” katanya.

Selain itu, dia yang tertuduh telah menandatangi bon berkelakuan baik dalam tempoh lima tahun dengan seorang penjamin termasuk cagaran berjumlah RM5,000 sebagai tambahan hukuman.

Dalam masa sama, dia juga perlu melaksanakan khidmat masyarakat selama 200 jam dalam masa enam bulan selepas tamat hukuman penjara dengan syarat-syarat yang dikenakan.

Pada 20 Ogos 2021, Siti Bainun didakwa sebagai orang yang bertanggungjawab menjaga remaja sindrom Down berusia 13 tahun, telah mengabaikan mangsa mengalami kecederaan fizikal dan emosi.

Manakala, pada 25 November 2021, wanita itu turut didakwa semula di mahkamah sama atas pertuduhan menganiaya remaja tersebut.

Baca juga: