Dua wanita sesak nafas dalam kebakaran rumah di Sabah

Kejadian kebakaran sebuah rumah kediaman dipercayai melibatkan dua orang mangsa wanita telah berlaku di Taman Kingfisher Lorong Raja Udang 2 Likas, Sabah pada Jumaat.

Komander Operasi, Penolong Kanan Penguasa Bomba, Agustavia Joe Guasi melaporkan, seramai 10 orang anggota bomba daripada Balai Bomba Penyelamat (BBP) Lintas terus bergegas ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan kecemasan.

“Apabila pihak kami tiba di tempat kejadian, didapati kebakaran yang berlaku melibatkan sebuah rumah jenis kekal terbakar hampir 15 peratus di ruangan bilik tidur dengan keluasan 12 x 6 kaki persegi.

“Namun, orang awam yang berada di sekitar kawasan tersebut membantu memadamkan kebakaran dengan menggunakan alat pemadam api sebelum pasukan bomba tiba di lokasi kejadian,” katanya dalam satu kenyataan.

Walaubagaimanapun, terdapat dua mangsa wanita yang terlibat mengalami masalah sesak nafas telah diberikan rawatan awal oleh Pasukan EMRS dan seterusnya dihantar ke Hospital Likas menggunakan jentera EMRS bagi mendapatkan rawatan lanjut.

Sehubungan itu, anggota bomba bertindak menjalankan kerja-kerja pemadaman kebakaran dengan menggunakan satu aliran salur dan operasi pemadaman kebakaran berjaya dikawal serta tamat sepenuhnya pada pukul 12.47 pagi.

Pada 24 Mac lalu, satu kes kebakaran telah berlaku di mana sebanyak 10 buah rumah terbakar mengakibatkan 65 penduduk daripada 17 keluarga hilang tempat tinggal di Kampung Likas, Kota Kinabalu, Sabah.

Baca juga: