Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) telah mendapat pujian daripada Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan dalam membantu menyelamat mangsa gempa bumi di negara itu tahun lalu.
“Jabatan Bomba sentiasa di depan (jika berlaku bencana), tahun lalu gempa bumi di Turkiye, setiap kali berjumpa Presiden Turkiye, dia (Erdogan) tak pernah lupa dan sanjung kerana kecekapan, kekentalan semangat ihsan pasukan JBPM.
“Saya rasakan bahawa negara ini harus diangkat martabatnya dan terangkat martabatnya hanya dengan semangat, pengorbanan dan kecekalan,” katanya.
Anwar berkata demikian ketika dalam ucapan perasmian Hari Bomba Sedunia 2024 Peringkat Kebangsaan di Tambun, Perak pada Sabtu.
Hadir sama dalam majlis itu, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming dan barisan kepimpinan Negeri Perak.
Beliau turut berkata, pengorbanan anggota JBPM perlu difahami setiap lapisan masyarakat dalam memastikan negara terus selamat.
Menurut Anwar, amanah dan tanggungjawab yang digalas setiap anggota bomba amat besar dan perlu dihargai.
“Saya percaya hari ini (Hari Bomba Sedunia 2024) tidak hanya jadi hari kita pamerkan kekuatan kita, pengalaman kita, tetapi untuk mengajak rakyat memahami dan merasakan prihatin terhadap perkhidmatan bomba.
“Kadang kala kesibukan kita, kita lupa bahawa negara ini aman dan selamat kerana terkawal. Yang mengawal itu tentera, polis juga bomba.
“Rumah hanyut, kucing tenggelam, tanah runtuh, bencana alam pelbagai semua itu kita rasa ada jabatan bertanggungjawab (JBPM), tapi simpati dan kefahaman kurang ini masalah kita,” ujarnya.